Saturday 16 March 2013

HIJRAH ITU INDAH ( sweet moment)


HIJRAH ITU INDAH   
        
            HIJRAH.  Sudah acap kali kita melihat perkataan ini. Mungkin sudah berpuluh – puluh bahkan beratus-ratus kali perkataan ini menerjah deria kita. Namun, berapa kalikah perkataan ‘HIJRAH’ ini menerobos hati kita dan berapa kalikah kita memikirkan makna di sebalik perkataan ‘hijrah’ tersebut? Tepuk dada, tanyalah iman.

            Erti hijrah menurut bahasa ialah semata – mata meninggalkannya. Menurut istilah pula bermaksud meninggalkan larangan Allah sama sekali untuk melaksanakan segala yang diperintahkan dan yang disukaiNya. Inilah pengertian hijrah yang dikehendaki dan hakikatnya yang meliputi segala macam hijrah yang dituntut kepada seseorang, iaitu hijrah dengan perkataan, perbuatan dan hati.

HIJRAH ITU INDAH


            Hijrah itu sememangnya indah, lebih indah dari nikmatnya meneguk air ketika kelelahan. Sirah telah membuktikan bahawa hijrah itu indah meskipun pahit ketika di awalnya. Segala kesusahan dan keperitan ketika para sahabat memulakan langkah untuk berhijrah dari Mekah ke Madinah akhirnya di balas dengan kemanisan layanan Islam itu sendiri. Syariat Islam yang indah telah menggantikan segala yang pahit menjadi manis. Menukarkan musuh kepada saudara, menggantikan yang keruh kepada jernih, menghilangkan keresahan dengan melayarkan kedamaian. Itulah hijrah.

DIRI INI DAN PERKATAAN ‘C.I.N.T.A’




            Sememangnya diri ini sering diuji dengan masalah hati. Hati yang sunyi kesepian sering kali dibuai dengan asyiknya melodi syaitan. Sering kali juga ditegur oleh hasutan-hasutan nakal syaitan supaya diisi hati yang sunyi dengan cinta sementara yakni cinta manusia. Akhirnya, diri yang lemah ini terpedaya dengan keindahan sementara cinta palsu dan kemudiannya hanyut dibawa oleh arusnya. Jauh dan sangat jauh sehingga tidak terlihat lagi cahaya Ilahi.

            Namun, Allah masih mencintai diri ini. Allah telah menunjukkan apakah cinta sebenar tersebut. Allah menghantar pelbagai pertolongannya untuk menyedarkan diri ini bahawa Dialah yang paling selayaknya dicintai. Dia tidak pernah jemu menyedarkan diri ini dan membuktikan cintaNya. Diri yang lemah ini menangis hiba dalam hati. Tidak seorang pun yang tahu betapa sakitnya hati ini mengkhianati cintaNya. Betapa tingginya rasa bersalah ini. Diri ini luahkan semua padaNya. Diri ini bersalah meninggikan cinta selain daripada cintaNya.

HIJRAH ITU INDAH

            Diri ini bertekad untuk meninggalkan cinta yang palsu itu dan kembali kepada cinta yang satu. Bertekad dalam hati sahaja tidak mendatangkan apa-apa hasil. Lalu, diri ini memutuskan tali cinta palsu tersebut dan menyambungnya dengan tali cinta abadi dan berharap agar tali ini kukuh untuk diri ini sampa ke syurga kelak.

            Hati ini amat susah meninggalkan cinta palsu itu tetapi Dia memujuk dengan kalam-kalamNya yang indah supaya terus bersabar dan terus bersabar kerana Dia sentiasa bersama dengan orang yang sabar. Diri ini membataskan cinta palsu tersebut dan terus-terusan bersabar menahan asakan syaitan yang sedang rancak menceroboh benteng kesabaran dengan pelbagai strategi. Namun, dengan pertolongan Dia, diri ini berjaya menghadapinya. Itulah bukti cintaNya. Sentiasa taat setia dengan janji-janjiNya. Terima Kasih Ya Allah…

HIJRAH DAN SABAR

   Hijrah itu indah. Sabar juga indah. Apabila hijrah dan sabar itu digabungkan pasti akan jadi lebih indah bukan?. Maka, bagi sesiapa yang inginkan hijrah. Tanamkan sifat sabar yang utuh dalam diri dan sentiasa berdampingan dengan Allah. Allah telah berjanji bahawa Allah akan sentiasa bersama dengan orang-orang yang sabar. Hijrah itu perjuangan. Maka, berjuanglah dengan penuh kesabaran.