Monday, 27 February 2017

KISAH KETABAHAN NABI AYUB ALAIHISSALAM

KISAH KETABAHAN NABI AYUB ALAIHISSALAM

Assalamualaikumwarah matullahhiwabarakatuh.
Terima kasih tuan pengerusi majlis.,… Panel hakim yang bijaksana seterusnya hadirin sekalian.

Pantun:            Qisasul Ambiyak empunya cerita ,
Kisah ketabahan nabi Ayub hayatilah bersama..

Kawan-kawan,

Nabi Ayub merupakan cucu nabi Ishak dan cicit nabi Ibrahim .Beliau diutuskan kepada masyarakat bangsa Rom. Allah telah mengurniakan kepada Nabi Ayub dengan kemewahan, harta yang melimpah ruah, dan anak yang ramai. Nabi Ayub hidup bahagia bersama isterinya Siti Rahmah dan kesemua anak-anaknya di daerah Syria. Baginda sangat suka bersedekah dan berbuat baik kepada fakir miskin.

Kawan - kawan, kita  perlulah mencontohi sifat pemurah dan suka menolong orang susah seperti Nabi Ayyub dengan cara bersedekah, berzakat dan menolong orang susah. Oleh sebab itu, umat Islam perlu menghulurkan bantuan kepada penduduk Syria yang menjadi pelarian dan memerlukan bantuan akibat pergolakan yang berlaku di sana.

Firman Allah di dalam al-Quran surah Ibrahim ayat 7

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ (7)
Yang bermaksud : Sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti kami akan menambah nikmat kepadamu, dan jika kamu kufur, sesunggunya azab Ku sangat pedih.

Ya Kawan-kawan…
Iblis sangat cemburu melihat ketaatan dan kelebihan yang dikurniakan oleh Allah kepada nabi Ayub. Pada suatu hari. Iblis dengan penuh iri hati bertemu dengan Allah sambil berkata,

” Ya Allah, Hambamu yang bernama Ayub tidak jujur dan berpura –pura taat kepada perintahmu , kerana takut hartanya hilang”

Dengan izin Allah, maka iblis berusaha menguji keimanan Nabi Ayub

Syair: Iblis dan syaitan jalankan rancangan, 
Merosak memusnah segala kekayaan, 
Hiduplah baginda dalam kemiskinan 
Tabah hatinya menerima ujian

Masyaallah, dalam sekelip mata semua kekayaannya musnah tidak diduga. Termasuklah putera dan puteri tercinta. Namun, tidak sedikit pun goyah iman didada kerana semuanya pinjaman Allah semata-mata.

Firman Allah dalam surah Al Imran ayat 41…..
        
ذَٰلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَاللَّهُ عِندَهُ حُسْنُ الْمَآبِ (14)

Mafhumnya : Semua ini adalah kesenangan hidup di dunia. Dan ingatlah, kepada sisi Allah adalah sebaik-baik tempat kembali.

Ya kawan-kawan,

Walaupun Nabi Ayub ditimpa musibah, baginda tetap tabah dan sabar. Kita perlulah berfikir dan bermuhasabahlah ke atas  musibah yang berlaku seperti banjir besar yang kerap kali melanda beberapa tempat ni negara kita seperti di Kelantan, Terengganu, Pahang dan selainnya. Sangat banyak kemusnahan harta benda direkodkan saban tahun malah ada yang kehilangan ahli keluarga tercinta. Semuanya ujian Allah untuk menguji dan mengukuhkan keimanan.  Allah kasihkan kita sebenarnya…

Dendam iblis tiada akhirnya ….nabi Ayub terus diduga.  Diuji dengan  penyakit kulit yang sangat  dahsyat menular keseluruh tubuhnya  Kudis memunuhi seluruh badannya, dari kepala hingga ke kaki, bahkan mengalir mengalir darah bercampur nanah. Ulat-ulat jatuh dari kudis di badannya.  Dalam tempoh itu, hatinya tetap redha. Lidahhya saban hari tidak putus-putus mengalunkan zikir kepada Allah.

Nasyid, :          Habis hilang semua harta,
Kini diuji penyakit pula,
Disisih dipulau semua tetangga,
Namun hatinya tetap kepada Allah.                                     

Namun, isterinya Siti Rahmah.tetap setia menjaga dan memenuhi keperluannya dengan penuh kasih sayang dan kesabaran

Firman Ar Rahman, di dalam surah al-Baqorah ayat 153.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ (153)

Mafhumnya …..Sesungguhnya Allah bersama orang yang sabar.                     

Ya   kawan-kawan….
.
Sabar…kasih sayang dan saling tolong menolong sifat terpuji yang perlu ada dalam diri kita apabila ditimpa penyakit - penyakit kronik seperti pasangan kembar siam Ahmad dan Muhammad yang pernah menjadi topik dan berita utama di Malaysia pada tahun 2002. Mereka yang dilahirkan bercantum dari bahagian dada dan punggung menjalani pembedahan pemisahan yang dibiayai sepenuhnya oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Abdullah Abdul Aziz yang melibatkan kos 1.7 juta. Subhanallah, sungguh baik hati beliau menolong insan - insan yang memerlukan.

Kawan-kawan,

Iblis terus menggoda tanpa henti selagi impiannya memesongkan akidah nabi Ayub……tidak tercapai. Apakah yang berlaku seterusnya?

Nasyid: Iblis mula mengatur strategi 
  Dugaan datang silih berganti
  Isteri tercinta melangkah pergi     
  Kepada Allah berserah diri

Iblis tidak senang melihat ketaatan dan kesabaran isteri Nabi Ayub lalu dibisikkan hasutan agar dia berkeluh kesah di atas keadaan Nabi Ayyub. Nabi Ayub mengetahui tipu daya iblis itu….seraya bermunajat kepada Allah

“Wahai Allah, sesungguhnya isteriku telah dihasuti syaitan. Andai aku diberikan kesempatan untuk sembuh akan ku sebat isteriku 100 kali sebatan sebagai hukuman.”

Kawan-kawan,
Nabi Ayub sabar menanggung penyakit kulitnya selama 18 tahun sehinggakan  tiada lagi daging yang tinggal di badannya,. Apabila matahari menyinari, maka sinar itu seakan-akan tembus bahagian belakangnya. Melihatkan kesabaran Nabi Ayyub, lantas Allah menurunkan Wahyu di dalam surah sod ayat 42……

ارْكُضْ بِرِجْلِكَ ۖ هَٰذَا مُغْتَسَلٌ بَارِدٌ وَشَرَابٌ (42)                                      

Mafhumnya……
“ Hentakkan kakimu , inilah air yang sejuk untuk mandi dan untuk minumanmu….”

Kawan-kawan nak tahu,

Syair:  Setelah mengikut suruhan tuhan
            Air diminum badan dibersihkan 
            Hilang segala penyakit di badan
            Hingga tiada sebarang kesan.

Ya kawan-kawan…..
Setelah itu, isteri yang taat kembali memohon ampun dan Nabi Ayub melaksanakan sumpahnya….isteri dirotan 100 kali mengunakan rumput sebagai hukuman.

Kunci kebahgiaan keluarga ialah kesetiaan dan kasih sayang yang berpanjangan. Kini institusi keluarga semakin rapuh …lihatlah… berapa banyak kes-kes penceraian difailkan dimahkamah.. Masyaallah.  Menurut Datuk Dr.  Fadzilah Kamsah, 65% pasangan muda bercerai disebabkan proses pendidikan agama yang longgar serta kurang pengetahuan dalam membentuk keluarga.

Alangkah kecewanya iblis….akhirnya mengakui  ketabahan  Ayub alaihissalam menghadapi dugaan .Segala kekayaannya dikembalikan. Maka, benarlah janji Allah di dalam Surah As - Sod. Ayat 43 :

وَوَهَبْنَا لَهُ أَهْلَهُ وَمِثْلَهُم مَّعَهُمْ رَحْمَةً مِّنَّا وَذِكْرَىٰ لِأُولِي الْأَلْبَابِ (43)  

Mafhumnya : Dan Kami anugerahi dia (dengan mengumpulkan kembali) keluarganya dan (Kami tambahkan) kepada mereka sebanyak mereka pula sebagai rahmat dari Kami dan pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai fikiran.

                                                                                                             
Ya, kawan-kawan,

Demikianlah kisah ketabahan seorang nabi. Ini menjadi teladan buat kita semua, bahawa apabila ditimpa musibah, Allah lah tempat untuk kita memohon pertolongan dengan sabar dan redha. KepadaNya lah kita mengadu semua masalah melalui doa, solat dan amal Ibadah lain. Sesunguhnya doa itu adalah kekuatan bagi setiap mukmin.

Pantun :           Selepas kesusahan ada kesenangan,
Sabar dan syukur jadikan azimat,
Kisah Nabi Ayub jadikan teladan,
Agar menjadi mukmin yang hebat.

Sekian wabillahi taufiq…..

Disediakan oleh : Husna Hafiza binti Abdul Shukur (Guru, SK Alor Peroi)



No comments:

Post a Comment